Thursday 16 July 2015

Mini Novel : Eusoff Jelita 2



Sebaik selesai mengemas, Eusoff melompat naik ke atas tilam bersaiz King. Entah kenapa bayangan si curly kembali menari-nari di kaca matanya. Tanpa sedar dia senyum cecah telinga seorang diri. Dibuai bahagia.
            “Kau ni dah kenapa, Eusoff? Nanti terlepas maghrib, baru tau!” omel Eusoff pada diri sendiri. Tersengih senget lalu dia melompat bangun menuju ke bilik air.
Selesai berwuduk dia keluar capai sejadah lalu dengan penuh tenang menghambakan diri pada yang Maha ESA. Saat itu terasa betapa kerdilnya dia di hadapan ALLAH SWT.
Sempurna tiga rakaat, Eusoff panjatkan doa lama. Penuh pengharapan dia aminkan. Moga-moga yang ESA meniupkan kekuatan dan kelapangan dalam hatinya menghadapi hari muka.
            Sebaik sejadah disangkutkan, Eusoff pegang perut. Lapar. Makanan apa yang ada di bawah? Hmm… hanya ada roti, kaya dan buah epal merah yang sempat dibeli sewaktu dalam perjalanan ke sini tadi. Bolehlah buat alas perut sebelum menunggu hari esok.
Nak keluar cari makan, tak pasti arah mana. Maklumlah baru berpindah di kejiranan ni. Berjiran pula dengan si curly yang sombong. Nak tanya pun kena fikir panjang. Eusoff garu dagu yang tak gatal.
Turun ke bawah dan jamah roti sekeping dua serta sebiji epal, Eusoff naik semula ke atas. Berniat nak berehat je kerana esok dia perlu bekerja.
Sejak akhir-akhir ini urusan syarikat terlalu banyak. Belum ditambah dengan meeting itu, meeting ini. Melawat tapak projek lagi sana sini. Letih, memang letih!
Tapi tak guna pun mengeluh. Dalam usia beginilah dia harus bekerja keras. Harus buktikan kebolehan diri pada daddy dan kedua abangnya.
Paling utama nak buktikan yang dia bukan anak manja si mummy dan si daddy. Dia mampu hidup berdikari biarpun jauh dari mereka.
Eleh! Kalau tak kerana perempuan yang tak tahu malu tu asyik mengekor, takde maknanya aku kat sini. Itu punca yang sebenar. Yang awal tadi tu alasan sampingan je. Eusoff gelak tipis.
“You tak kan I lepaskan!” Bibir merah dalam jarak sebatu boleh dilihat tu peluk tubuh. Tadi pandangan dia bukan main menggoda tapi, sekarang dah macam mata singa yang siap sedia nak terkam mangsa.
Do I care?” balas Eusoff takde perasaan. Memang perempuan tak cukup kain ni jenis muka tembok. Susah betul nak hadam yang cinta tak boleh dipaksa.
But I love you. I tak mampu hidup tanpa you, sayang.”
Jatuh rahang Eusoff sebaik dengar bicara yang menggelikan tu. Eee… tolonglah. Meremang terus bulu roma dibuatnya!
I not love you, anymore.” Tegas bicara Eusoff.
Why? Sampai hati you lupa dengan janji you dulu.” Perempuan itu bernada sebak.
“I silap berjanji dengan you dulu. Just forget it.” Itulah janjikan lagi bulan dan bintang. Mana mungkin boleh dipetik. Salah sendiri, jadi terpaksalah dia tanggung akibatnya.
“Silap you cakap? Nak I lupakan macam tu je? Senangnya you cakap. Lelaki tak guna!” Tarik tas tangan Fendi, perempuan itu berlalu marah.
Nasib kaulah Eusoff, berjodoh kenal dengan perempuan yang macam tu! bisik hati Eusoff menyesal. Satu pengajaran  buat dia.
Kemudian Eusoff mendaki anak tangga naik ke atas. Patutnya nak terus masuk ke dalam kamar namun, terpandang pula pintu sliding yang tak bertutup rapat. Menapak dia ke sana. Berniat nak tutup tapi, terpandang pula figura seseorang.
Si curly! Jantung Eusoff berdegup kencang. Sudah… bibir Eusoff dah melerek senyum cecah cuping telinga pun. Dia jadi kaku di situ tak berkelip. Bunga api dalam hati mula meletup-letup. Rasa bahagia sangat-sangat.
Baik aku pergi tegur! Eusoff nekad. Pantas kaki Eusoff keluar mendekat. Langkah pertama harus dimulakan.
“Cantik kan bulan malam ni?” Tambah kencang jantung Eusoff berdegup. Moga-moga detik manis bermula antara mereka.

Mereka tiga beradik lebih suka menghabiskan masa di tingkat atas. Manakala abah dan mama, senang dibiarkan berdua-duaan di bawah sana. Mahu beri ruang memandangkan mereka bertiga dah menginjak dewasa.
Jimi seronok melayan Balqis menonton CD kartun animasi Barbie. Tak macam Jelita, sama sekali tak suka melayan Balqis. Kerenah mengada-ngada si adik bagai nak minta cubitan ketam dia! I-Pad di tangan, Jelita  tolak ke tepi.
Bosan begitu, Jelita bangun menuju ke arah pintu sliding yang separuh terbuka. Ditolak lagi lebih lebar.  Angin malam mula mencengkam hingga ke tulang hitam. Menyapa lembut kulit pipi dia. Sejuk.
Penghadang balkoni Jelita dekati. Mula toleh ke rumah sebelah. Genap sebulan akhirnya bercahaya juga rumah tu. Di balkoni rumah dah terletak sebuah meja dan dua buah kerusi santai.
Alahai! Eusoff fikir balkoni rumah kami ni mengadap laut ke apa? Kempunan nak berjemur agaknya. Jelita tergelak sinis. Macam-macam jenis perangai.
“Yuhuu… Jelita Anggun.”
Pantas Jelita toleh, mendecit. Si abang nak cari pasal lah tu. Entah dah lama mana Jimi bersandar pada pintu sliding perhatikan dia. Tersengih-sengih dengan jambang dan misai nipisnya.
Jimi gelak senang. Wajah si adik beriak masam setanding asam keping. Marah memanjang bila dipanggil dengan nama penuh. Menarik apa nama tu? Padan pun ya dengan si adik!
“Siapa yang baru masuk rumah sebelah ni? BMW Z4 dia… ish ish ish!” tergeleng-geleng Jimi lalu turut mendekati penghadang balkoni yang mengadap ke arah rumah jiran sebelah. Tegap dia pandang ke bawah, arah ruang parkir rumah itu.
Jelita senyum herot. Rasa kagum si abang dengan kenderaan mewah Eusoff kalahkan keterujaan dia sendiri pada lewat petang tadi. Kereta mewah itu kini menjadi tatapan mereka dua beradik. Masing-masing pasang angan mat Jenin.
Bestnya kalau dapat sebuah… confirm seminggu along tidur dalam tu!”
Dengar saja, Jelita terbahak ketawa. Sudahnya mereka mengalun tawa bersama-sama. Manalah kereta Mitsubishi Lancer si abang mampu menyaingi kereta jenama mewah Eusoff. Apatah lagi skuter dia sendiri. Mampu tengok jelah jawabnya!
“Jelita Anggun kenal ke siapa jiran kita ni?”
“Entah! Tak kuasa nak ambik tahu.” Tahu tapi Jelita berlakon buat-buat tak tahu.
“Dia boyfriend Aqis tau along.” Tak semena-mena mencelah pula satu suara kecil dari dalam rumah Terkedek-kedek mencelah antara mereka berdua. Dengan si kakak dijelingnya tak lepas. Tetap ada tingkah rasa yang bersisa.
“Lah! Ye ke boyfriend, Aqis? Boyfriend baru, eh?” Jimi dukung si adik yang masih tak lepas menjeling si kakak. Perlu banyak bersabar bila nak melayan telatah kedua mereka. Maklumlah selaku abang, hanya dia satu-satunya wakil PBB.
Jelita balas jelingan si adik dengan mimik muka meluat. Nasib baik masih kecil. Karang dilayan lebih-lebih, dia juga yang nampak buruk perangai.
“Hensem sangat boyfriend Aqis tu, along!” Melambung terus pujian Balqis.
Jelita sambung jeling lagi. Sabar jelah bila si adik yang dah jadi ulat bulu naik daun!
“Dia lebih hensem dari along ke?”
“Hmm…” Berkerut dahi Balqis memikirkan soalan si abang. Entah mana satu yang dia nak pilih. Abang atau boyfriend ni?
“Mestilah Eusoff, dia kan boyfriend Aqis,” sambung Balqis tersipu-sipu buat pilihan.
“Ooo… sanggup buang along sebab boyfriend baru Aqis tu, ya. Mana aci. Meh! Sini, siap Aqis kena hukum.” Terus Balqis dikendong dan dilayangkan ke udara sebaik dibawa masuk ke dalam rumah. Riuh gamat suasana yang sedari tadinya sunyi sepi.
Bukan main galak lagi Balqis menjerit diusik. Seronok benar dia bila diajak bergurau begitu. Melayang-layang ke udara seperti princess Barbie ada sayap.
Jelita kembali pandang ke atas. Bulan terang pada malam ni. Bintang-bintang juga penuh berselerakkan di dada langit. Malam hari yang amat indah dan mendamaikan. Sangat-sangat!
“Cantik kan bulan malam ni?” Muncul satu suara. Serak-serak basah yang asing pada pendengaran jelita.
Jelita balas dengan senyum nipis tanpa memandang siapa tuan empunya suara. Sejenak, otak Jelita mula ligat berfungsi. Siapa yang tegur dia heh? Serta-merta bulat luas biji mata Jelita. Toleh aje, seorang lelaki tersenyum manis padanya.
Eusoff. Hish! Mamat gula-gula panas ni. Entah dah lama mana Eusoff berada di situ. Memerhati bulan… memerhati dia!
“Hmm… cantik rambut you.” Makin melerek senyum Eusoff dengan memberi pujian itu pula.
Rambut kerinting milik sendiri Jelita jeling sipi. Mahunya tak cantik bila setiap bulan dia tak pernah lupa melabur di saloon. Rambut unik macam ni perlu sentiasa dirapikan. Karang dibiarkan, kalahkan rambut kak Limah balik rumah.
Jatuh pandang lagi pada Eusoff. Tambah menjadi-jadi manis senyuman dia. Meluat. Itu yang Jelita rasakan dengan senyuman manis Eusoff. Dia tak suka!
“Huh!” Jelita tepis rambut ke belakang. Mencebik. Dia kembali tumpu pandang pada dada langit. Tengok bintang yang bersinar lebih indah berbanding senyuman semanis gula-gula kapas Eusoff yang bahaya tu.
Eusoff dah herot bibir. Hmm… dia dah mula dah! Puji pun tak boleh? Habis apa yang boleh? Perlu ke sombong tak hengat?! Eusoff sebal sendiri.
Sudahnya Eusoff turut pandang langit, melihat bintang. Eleh! Berbanding bintang, patutnya muka dia lagi pantas untuk dipandang. Hensem terlajak apa? Sambil tatap langit, dia juring hujung mata pada si curly.
Seronok dapat memerhati gadis pujaan sedekat ni. Memang seorang gadis yang jelita anggun. Sangat-sangat pada mata dia. Cuma sayang… sombong!
Eusoff berkira-kira lagi. Akhirnya nekad. Dia tak kan mengalah mudah. Dia tetap juga nak kenal dengan si curly sebelah ni. Tapi kalau sampai sudah Jelita tak layan juga dia, macam mana?
Hish! Sejak bila pula Eusoff Ammar Dato’ Norman boleh jadi tak keruan ni. Depan seorang perempuan pula tu. Tak pasal-pasal ke laut dah rasa macho dia. Argh!... belum cuba belum tahu kan. Okay…
 “Nama awak… aik! Dah hilang dah?” Sedar-sedar si curly dah hilang dari pandangan. Terkelip-kelip Eusoff pandang balkoni rumah jiran sebelah yang dah kosong tu. Serasa tadi tak sampai seminit pun dia larikan mata.
Sabar ya, Eusoff. Tak lari gunung dikejar. Sebelah rumah je pun. Esok masih ada. Moga-moga.
Wajah ketat.
Rambut kerinting.
Pandang ke dada langit, Eusoff lepas gelak nipis.

No comments:

Post a Comment